| NFC SASAR 40 PERATUS KELUARAN DAGING PADA 2015 |
| Utusan Malaysia Online - 23 March 2010 |
TAMPIN 22 Mac - National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) akan terus membantu kerajaan untuk mencapai sasaran kadar sara diri bagi pengeluaran daging lembu sebanyak 40 peratus menjelang 2015. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Izran Mohamad Salleh berkata, ketika ini pihaknya mencapai 26 peratus kadar berkenaan dan ia sedang dipertingkatkan dari semasa ke semasa. ''Saya yakin kita akan dapat memenuhi hasrat kerajaan itu dalam jangkamasa yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran jenama premium 'Gemas Gold Meat' di Pusat Fidlot Nasional, Gemas dekat sini hari ini. Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail serta beberapa Exco kerajaan Negeri Sembilan. Katanya, dalam usaha membangunkan industri itu banyak cabaran yang perlu dilalui khususnya bagi menghasilkan produk berkualiti, bermutu, halal dan segar. ''NFC mengambil masa kurang daripada dua tahun untuk membina asas, infrastruktur dan melengkapkan kemudahan di tapak lokasi ini. ''Pada waktu itu juga, kita mewujudkan rangkaian niaga selaras dengan visi syarikat untuk mengetuai, menstruktur dan mentransformasi industri penternakan lembu di Malaysia kepada pusat pengeluaran daging halal bertaraf dunia," ujarnya. Tambah Wan Izran, projek pembangunan itu telah menjana ekonomi luar bandar dengan memberikan begitu banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Gemas, sekali gus satu pelaburan modal insan yang baik. Menurutnya, produk daging keluaran NFC, 'Gemas Gold Meat' yang dilancarkan hari ini juga merupakan permulaan bagi pelbagai lagi produk daging yang akan dikeluarkan syarikat berkenaan. ''Ini merupakan permulaan kepada fasa kedua dalam pembangunan NFC yang akan melebarkan sayap kepada penghasilan yang pelbagai," ujar Wan Izran. Jelasnya, 'Gemas Gold Meat' yang telah disasarkan sebagai peneraju utama jenama daging di Malaysia menawarkan pilihan yang berkualiti kepada pengguna di Malaysia selain menepati piawaian syariah dan disahkan halal. Tambah Wan Izran, bagi menghasilkan produk daging berkualiti optimum, lembu ternakan NFC diberi makanan khas yang menggunakan formula daripada sumber asli. ''Melalui jenama 'Gemas Gold Meat' ini, NFC telah memasuki pasaran tempatan dengan bertapak di pasar raya dan pasar raya besar seperti Jusco, Giant, Cold Storage dan Carrefour. ''Kami menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada pasaran tempatan dan akan melaksanakan strategi pengedaran produk di hotel, restoran, syarikat penyediaan makanan dan katering seluruh negara. ''Kita juga akan memasarkan produk daging ini di pasar basah agar ia turut dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia," tegasnya. |
| Source : Utusan Malaysia Online - 23 March 2010 |